Kata Pemeri "adalah" dan "ialah" dalam Bahasa Melayu.

1.0   Pengenalan

"Kata pemeri" dalam bahasa Melayu ialah kumpulan kata yang berfungsi sebagai pemerihal kepada predikat atau perangkai subjek dan predikat (Nik Safiah Karim et al., 2015).(Subjek ialah Tema [theme] dalam ayat yang terdiri daripada frasa nama, manakala predikat ialah keterangan atau Cerita [rheme] mengenai subjek.) "Ali ialah guru bahasa Melayu di sekolah itu", sebagai contoh, mengandungi kata "Ali" sebagai subjek dan "ialah guru bahasa Melayu di sekolah itu" sebagai predikat.  Kata pemeri termasuk dalam golongan kata tugas, iaitu kata yang bersifat heterogen dan tidak boleh berfungsi sebagai Inti dalam sesuatu frasa. Terdapat percanggahan pendapat mengenai fungsi dan makna kata pemeri dalam kalangan linguis. Berikut disajikan padangan beberapa ahli bahasa mengenai penggunaan kata pemeri "adalah" dan "ialah" dalam ayat.
2.0 Analisis Nahu Pegangan.
Tatabahasa Dewan karangan Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Haji Musa, dan Abdul Hamid Mahmood telah diangkat menjadi tatabahasa atau Nahu Pegangan (NP). Oleh yang demikian itu, pelajar sekolah, guru-guru, dan para pensyarah hendaklah menjadikan buku ini sebagai rujukan utama apabila mengalami masalah berkenaan dengan tatabahasa Melayu. NP telah memberikan analisis kata pemeri yang cukup ringkas dan mudah. Kata pemeri terbahagi kepada dua: "ialah", pemerihal persamaan antara subjek dan predikat, dan "adalah", pemerihal huraian tentang subjek.
Dengan erti kata lain, frasa yang mengikuti kata pemeri "ialah" menyamakan subjek dengan predikat, manakala frasa yang mengikuti kata pemeri "adalah" memberikan huraian kepada subjek tersebut. Sebagai contoh:
i.              Jus tembikai ialah minuman kegemaran saya.
ii.             Jus tembikai adalah baik untuk kesihatan.
Ayat yang pertama menyamakan makanan kegemarannya dengan jus tembikai: jus tembikai=minuman kegemaran, manakala ayat yang kedua menghuraikan kebaikan jus tersebut. Rumus yang diberikan oleh NP cukup jelas:
a.            "Ialah" hendaklah diikuti oleh kata atau frasa nama sahaja.
b.            "Adalah" hendaklah diikuti oleh kata atau frasa adjektif, atau frasa sendi nama sahaja.
c.             Kedua-dua kata pemeri ini tidak boleh diikuti oleh frasa kerja.
Menurut rumus di atas, ayat-ayat di bawah tidak boleh dianggap gramatis:1
iii.            * Jus tembikai adalah minuman kegemaran saya. (cf. i)
iv.           * Jus tembikai ialah baik untuk kesihatan. (cf. ii)
v.            * Adalah diberitahu sekolah akan tutup esok.
Bentuk yang betul bagi ayat iii. dan iv. adalah seperti i. dan ii., manakala ayat v. hendaklah ditulis semula sepert ayat di bawah:
vi.           Dengan ini diberitahu sekolah akan tutup esok.
Pengarang NP berpendapat penggunaan kata pemeri amatlah terbatas dan penggunaannya tidak digalakkan. Sebagai contoh, ayat ii. sudah gramatis tanpa kata pemeri "adalah". Bagi ayat  i  pula, walaupun pada pendapat penulis blog ia agak janggal tanpa kata pemeri, ayat itu masih boleh difahami.
3.0 Analisis Asmah Haji Omar (2015)
Nahu Melayu Mutakhir (2015, Asmah Haji Omar) diterbitkan pada mulannya pada tahun 1980. Untuk memudahkan deskripsi, dalam penulisan ini, nama buku ini disingkatkan kepada NMM. NMM mempunyai analisisnya yang tersendiri mengenai gejala dan penggunaan kata pemeri dalam ayat.
NMM mengkategorikan "ialah" dan "adalah" dalam kategori partikel kerana ia tidak boleh berdiri sendiri dalam ayat minimal, iaitu ayat yang hanya mempunyai satu kata untuk mendukung makna ujaran yang lengkap. "Ibu" dalam ayat di bawah ialah kata yang befungsi sebagai ayat minimal:
i.                     Siapa yang jaga kamu? ~ Ibu
Oleh sebab “ialah” dan “adalah” tidak boleh berfungsi seperti “ibu” di atas, ia tidak bertaraf kata dan termasuk dalam kategori partikel. Oleh yang demikian itu, “adalah” dan “ialah” merupakan Partikel Pemerian.
3.1 Ialah
Dari segi etimologi, “ialah” ialah anafora atau kata ganti nama ketiga “ia” yang menerima partikel penegas “-lah”. Misalnya dalam ayat di bawah, “ia” ialah merujuk kepada “Ahmad”. Analisis ini menjadi lebih jelas dengan kehadiran koma sebagai penanda prosodi:
i.                     Ahmad, ialah penghulu kampung itu.
Hubungan anafora ini menjadi lebih jelas lagi jika “ia” digantikan dengan “dia”.
ii.                   Ahmad, dialah penghulu kampung itu.
Jelaslah di sini bahawa “ialah penghulu kampung itu” sebenarnya klausa iringan bukanlah predikat yang menerangkan subjek. Walaupun demikian, “ialah” sudah mengalami kelunturan fungsi sintaksisnya sebagai subjek klausa tersebut dan akhirnya menjadi unsur penghubung subjek dan predikat, yang pada asalnya judul dan klausa iringan.
Berdasarkan sejarah kemunculan kata ini, dapatlah disimpulkan bahawa:
  1.            “Ialah” tidak wajib hadir sekiranya hubungan subjek dan predikat sudah jelas.
  2.         “Ialah” boleh digantikan dengan jeda dalam bahasa lisan, atau koma dalam bahasa tulisan.
Sebagai contoh:
i.                     Ahmad, penghulu kampung itu.
ii.                   Ahmadlah penghulu kampung itu.
Sekiranya judul itu hendak ditegaskan, maka partikel penegas “-lah” boleh diletakkan sesudahnya, seperti ayat ii. di atas.
  1.            “Ialah” tidak boleh digunakan sekiranya subjek diwakili kata ganti nama “dia”, “ia”, atau “mereka”. Oleh yang demikian itu, ayat di bawah adalah tidak gramatis:
iii.                 * Dia ialah kawan saya.
iv.                 * Ia ialah guru sekolah itu.
v.                   * Mereka ialah kawan kami.

3.2 Adalah
“Adalah” muncul pada abad ke-20 dan dimasukkan ke dalam bahasa Melayu daripada bahasa Indonesia. Ia juga dikatakan muncul kerana usaha menterjemah kata kopular yang terdapat dalam bahasa Belanda dan Inggeris. Kata ini ialah hasil penggabungan kata kerja “ada” dengan partikel penegas “-lah”. Walaupun “ada” merupakan kata kerja dalam bahasa Melayu, fungsi kata kerja sudah tiada dalam penggunaannya sebagai pemerihal dan tidak boleh dianggap sebagai kata kerja lagi:
i.                     Ia tidak boleh berdiri sebagai kata sempurna.
ii.                   Ia tidak didahului oleh kata kerja bantu dan kata nafi.
iii.                 Ia tidak diikuti oleh adverba.
Berbeza dengan “ialah”, “adalah” mempunyai penyebaran yang lebih bebas: ia boleh didahului oleh kata daripada pelbagai golongan termasuklah kata ganti nama seperti:
iv.                 Dia adalah kawan saya.
Sama seperti “ialah”, “adalah” boleh digugurkan dalam ayat iv.
3.3 “Adalah” sebagai pengantar judul
Kata ini juga boleh digunakan untuk memperkenalkan satu idea atau tujuan. Fungsi ini dipanggil sebagai “pengantar judul” Fungsi ini terbahagi kepada dua, pengantar judul ungkapan penemuan, dan pengantar judul ungkapan perakuan:
  1. Ungkapan penemuan:
                                   i.      Adalah didapati pendidikan agama diberi di semua sekolah rendah dan menengah.
                    ii.   Adalah didapati satu penyusunan semula struktur Biro ini telah dilaksanakan.
        b.  Ungkapan perakuan:
                                   i.      Adalah diperakukan supaya pendidikan wajib diberi sehingga umur 11 tahun.
                                  ii.      Adalah diperakukan kedua-dua bangunan itu dijadikan warisan negara.
 Huraian ini bercanggah dengan analisis NP, yang berpendapat bahawa kata pemeri tidak boleh diikuti oleh kata kerja.

4.0 Kajian Khairul Taufiq dan Nor Hashimah Jalaluddin (2017)


Kajian ini bertujuan untuk menilai semula gelagat penggunaan kata pemeri "adalah" dan "ialah" dalam bahasa Melayu. Kajian ini dilakukan dengan teori relevans dan data korpus, yang semestinya bersifat emperikal, sahih, dan autentik. Kajian ini mendapati bahawa  penggunaan kata pemeri dalam bahasa Melayu yang sebenar menyimpang daripada rumus yang dihasilkan oleh pengarang NP. 

Rajah di bawah menunjukkan jumlah kekerapan (baris konkordans) penggunaan kata pemeri "adalah" dan "ialah"  yang didapati daripada pangkalan data korpus UKM-DBP.


Berdasarkan data ini, didapati bahawa penggunaan kata pemeri "adalah" adalah lebih meluas berbanding dengan kata pemeri "ialah". Rajah di bawah pula menunjukkan kekerapan penggunaan kedua-dua kata ini dengan frasa yang mengiringinya.


Jadual di atas membuktikan penggunaan kedua-dua kata pemeri ini adalah produktif dalam bahasa Melayu. Kata pemeri bukan sahaja diikuti oleh frasa, malah klausa kecil (yang juga dipanggil sebagai klausa tak bebas atau klausa subordinat). Dari sini juga dapat dilihat bagaimana analisis NP menyimpang sepenuhnya daripada penggunaan bahasa Melayu yang sebenar: kata pemeri "adalah" nampaknya boleh diikuti oleh frasa nama; kata kerja boleh mengikuti kedua-dua kata pemeri; dan kata-kata pemeri ini juga boleh diiringi klausa. Contoh penggunaan kata pemeri dengan klausa kecil adalah seperti di bawah:

i.                 Alasan syarikat insurans ialah kerana harga pasaran bagi kenderaan yang dicuri itu hanya bernilai RM3000 ketika tuntutan dibuat.

5.0 Penutup


Kesimpulannya, penggunaan kata pemeri dalam bahasa Melayu menimbulkan banyak percanggahan pendapat dalam kalangan pengkaji bahasa. Oleh yang demikian itu, seseorang yang hendak mempelajari bahasa secara mendalam hendaklah mencari maklumat yang komprehensif dan holistik supaya hasil yang bermanfaat dapat diperoleh. Penulis berpendapat bahawa NP hendaklah dijadikan rujukan utama para pelajar,  guru, dan penyarah walaupun analisisnya bercanggah dengan penggunaan bahasa Melayu yang sebenar. Hal ini demikian kerana, analisisnya mudah difahami dan statusnya sebagai Nahu Pegangan sudah diiktiraf. Namun, tiada halangan bagi individu untuk bergantung kepada pengangan tatabahasanya sendiri.

___________
Simbol asterisk (*) digunakan dalam kajian bahasa untuk menandai ayat yang tidak gramatis.



Rujukan:

Asmah Haji Omar. (2015). Nahu Melayu Mutakhir. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Haji Musa, & Abdul Hamid Mahmood. (2015). Tatabahasa Dewan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Khairul Taufiq Abu Bakar, & Nor Hashimah Jalaluddin. (2017). Kata Pemeri Ialah dan Adalah: Analisis Pragmatik. Jurnal Linguistik.

Comments